selamat datang

Ahad, 2 Oktober 2011

Benarkah Stres punca rambut gugur?

RAMBUT tumbuh di merata badan manusia kecuali di tapak tangan dan di tapak kaki. Ada sesetengah rambut tumbuh terlalu halus sehinggakan kita tidak dapat melihatnya dengan mata kasar.
Namun begitu rambut yang tumbuh di kepala paling menjadi perhatian sama ada lelaki atau wanita. Maklumlah, rambut adalah mahkota.
Secara purata, seorang dewasa mempunyai 100,000 ke 150,000 helai rambut. Rambut gugur lebih kurang 100 helai sehari, oleh itu jika anda menjumpai beberapa helai rambut di sikat ketika berdandan, janganlah risau.
Pertumbuhan rambut terbahagi kepada tiga fasa.
Fasa Anagen: fasa penumbuhan aktif jangka masa 2 ke 6 tahun
Fasa Catagen: fasa di mana rambut yang aktif memanjang berhenti dari memanjang. Jangka hayat dua ke tiga minggu
Fasa Telogen: Fasa di mana rambut mula berehat dan kemudian gugur. Jangka hayat dua ke tiga bulan.
Dalam setiap masa lebih kurang 90 peratus rambut kita dalam fasa Anagen dan dalam setahun rambut kita memanjang sebanyak 6 inci secara purata. Namun begitu semakin berusia, kadar pemanjangan rambut semakin lambat.
Di antara masalah rambut "nipis" yang kerap di alami oleh wanita adalah
1. Telogen Effluvium: Rambut menipis
Majoriti wanita yang mengalami masalah "penipisan" rambut disebabkan sejenis kondisi yang dinamakan "Telogen Effluvium".
Masalah rambut nipis adalah bersifat sementara. Apa yang berlaku sebenarnya, majoriti rambut berhenti memanjang (fasa anagen) dan masuk ke fasa Telogen. Ini bermakna rambut secara tiba-tiba berhenti memanjang dan gugur secara banyak. Kenapa ini boleh berlaku?
Telogen Effluvium boleh berlaku apabila badan mengalami stres seperti selepas demam panas, ketika anda mendapat penyakit dan untuk wanita selepas bersalin. Berita baik adalah, anda tidak perlu panik. Rambut akan tumbuh semula. Jika anda baru sembuh daripada penyakit, rambut akan tumbuh semula selepas beberpa bulan; jika anda stres, ambil cuti dan berehat; jika anda baru lepas bersalin, ambil cukup vitamin dan mineral agar badan boleh sihat dengan cepat dan rambut boleh tumbuh lebat semula seperti sediakala. Oleh itu jika anda mengalami rambut gugur selepas bersalin atau stres, jangan risau, ia akan pulih dengan sendiri.
2. Androgenic Alopecia
Masalah rambut menjadi botak ada kaitan dengan genetik. Ia boleh berlaku kepada lelaki atau wanita. Lelaki boleh mengalami masalah ini seawal remaja manakala wanita pula menjangkau 40-an.
Masalah ini lebih kerap dialami oleh kaum lelaki. Lelaki yang mewarisi genetic androgenic alopecia, mempunyai folikel rambut sangat sensitif kepada hormone dihydrotestosterone (DHT). Kesan DHT adalah mengecutkan folikel rambut dan menyebabkan rambut gugur. Androgenic alopecia mempunyai corak "botak" yang tertentu.
Untuk wanita, androgenic alopecia boleh disebabkan perubahan hormon. Di antara sebabnya adalah ovarian cyst, pil perancang yang mengandungi paras progesteron yang tinggi serta menopaus.
3. Alopecia Areata
Ada sesetengah remaja atau dewasa mengalami masalah "botak" setompok-setompok di kepala.
Keadaan ini boleh menyebabkan rambut terus botak. Namun begitu 90 peratus kes Alopecia Areata, rambut akan tumbuh semula selepas beberapa tahun.
Sebab-sebab lain rambut gugur
Jika anda mengambil ubat-ubatan seperti allopurinol dan warfarin, penyakit seperti hypothyroid (kekurangan hormone tiroid) dan kekurangan zat besi.
Rawatan untuk rambut gugur
Jika disebabkan Telogen effluvium maka rawatan tidak diperlukan. Kurangkan stres, rambut akan menebal dengan sendiri selepas beberapa bulan.
Namun begitu ada sesetengah klinik aestetik melakukan rawatan laser dan stem cell untuk mempercepatkan rambut tumbuh semula. Ia boleh membantu wanita mengembalikan rambut yang lebih sihat, cantik dan tebal. Rawatan laser dilakukan dua kali seminggu untuk tiga bulan manakala rawatan stem cell setiap bulan untuk tiga ke lima sesi. Rambut akan lebih sihat dan cantik. Ia juga boleh memanjangkan fasa anagen, oleh itu rambut akan jadi lebih panjang dan tebal.
Laser rambut
Jika anda mempunyai masalah androgenic alopecia, anda boleh berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan ubat anti DHT. Ubat anti DHT ini boleh menghalang hormon DHT dari merosakkan rambut anda. Namun begitu ramai lelaki teragak agak untuk mengambil rawatan ini kerana ia boleh mengganggu fungsi seksual. Rawatan anti DHT juga perlu dilakukan berterusan kerana apabila rawatan berhenti, rambut akan gugur kembali.
Akhir sekali untuk menampung kawasan botak, rawatan tanam rambut juga menjadi pilihan. Ada dua teknik menanam rambut, iaitu secara tradisional di mana doktor akan memotong sebahagian dari kulit kepala yang mengandungi rambut, memproses rambut dan menanam semula di kawasan terbabit. Proses ini mengambil masa yang lama tetapi, doktor boleh menanam 1,000 ke 3,000 helai rambut sehari. Oleh kerana banyak helai rambut yang ditanam, proses penyembuhan juga mengambil beberapa hari.
Teknik kedua adalah Follicular Unit Extraction atau FUE. Teknik ini hanya memotong helaian rambut secara individu. Oleh itu kecederaan minimum kepada kulit kepala dan anda boleh terus bekerja keesokkan harinya. Teknik ini bagaimanapun hanya boleh menanam 500 ke 1000 helai rambut sehari, namun proses ini boleh dilakukan berulang ulang kali sehingga anda berpuas hati.

Tiada ulasan:

Search